01 June 2012

Kahwin : Anak Inginkan Ayah Dan Ibu Yang Terbaik




Mata Itu Mengharapkan yang terbaik dari Ibu Dan Ayahnya


Di sebuah rumah yang sederhana. Kelihatan sebuah keluarga begitu bahagia sekali. Suami. Isteri dan anak kecil mereka.
“ Sayang, apa yang sayang harapkan untuk anak kita?,” Tanya si suami sambil mengusap kepala anak kecil mereka.

Si isteri memandang redup wajah anak mereka. Sungguh tenang dan cerah ceria rautnya. Matanya bulat, pipi sedikit tembam dan kulit cerah-cerah kuning. Tersenyum kecil si kecil itu.

“ Abang, bagi sayang,” Kata-katanya terhenti seketika.

“ Bagi sayang, cukuplah anak kita menjadi anak yang solehah dan hamba Allah SWT yang taat kepada-Nya. Tiada kenikmatan yang bernilai dan berharga daripada itu.”

Si suami mengangguk mendengar luahan hati buah hatinya.

“ Jadi, kita perlu buat sesuatu ke arah itu,” Sambungnya lagi.

“ Ya. Abang. Kita perlu banyak berdoa agar Allah SWT memilih dia sebagai hamba-Nya dan berusaha mendidiknya. Kita tidak akan pernah mampu menjadikan anak kita hamba Allah SWT yang taat, melainkan dengan izin Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT memilih kita untuk menerima hidayah-Nya seperti itulah kita mengharap Allah SWT  akan memilih anak-anak kita juga,” Kata si isteri lagi.

Si suami terdiam. Jiwanya tersentuh mendengar bicara hati isterinya. Benar, Allah SWT yang memilih hamba-hambanya untuk diberikan sinar hidayah dan cahaya keimanan. Hatinya terusik lagi.

Anak mereka merenget dan tertawa-tawa kecil. Tergelak mereka melihat telatah anaknya itu. Menjerit-jerit sambil mengoyang-goyangkan tangannya meminta perhatian dan belas ihsan. Sungguh bersih dan suci anak ini. Beratnya amanah ini Ya Allah.

Catatan Seorang Hamba

(1) Setiap yang dianugerahi cahaya mata, pastinya menyimpan hasrat dan harapan yang menggunung untuk anak-anaknya mereka. Sejak kecil anak itu, dipasakan dengan cita-cita yang diimpikan oleh ibu bapa. Jika cita-cita itu hanya tersangkut dengan hal-hal dunia semata-mata, alangkah “seksa”nya anak itu kerana terpaksa menanggung bebanan sebuah paksaan dan kepalsuan.

(2) Ibu bapa dituntut oleh Islam untuk melaksanakan semua fasa-fasa proses pendidikan anak dengan ilmu, pengetahuan dan pengalaman berasaskan Al-Quran dan ajaran Rasulullah SAW. Antara yang melekat di hati saya ialah penerapan didikan Al-Quran secara penghayatan kepada anak-anak semenjak kecil. – Tidur Al-Quran, Makan Al-Quran, Minum Al-Quran, Main Al-Quran dan Belajar Al-Quran. Peliknya bunyi? Macamana itu?

(3) Hari ini, ingin saya kongsikan bahawa betapa pentingnya memilih calon isteri kita yang benar-benar boleh menjadi ibu kepada anak-anak kita. Serius. Sanga-sangat serius. Baru saya mengerti bahawa, antara aspek yang perlu dilihat ialah – seorang wanita yang “mampu” untuk menjadi ibu yang mendidik anak-anak dengan penuh ilmu, kasih sayang, dan keimanan. Sehingga ia punyai kesedaran untuk mendidik anak itu kerana Allah SWT. Bukan kerana mengikut trend, bukan kerana terpaksa, bukan kerana naluri keibuaan tetapi kerana mentaati perintah Allah SWT.

Di'copy' dari :
31 Mei 2012
Belajar menjadi ayah dan belajar mendidik putri saya kerana Allah SWT. Suatu dimensi baru dalam hidup ini.

22 May 2012

Istimewa : Di Jendela Ini (Karya Seorang Guru)



Di Jendela Ini

Di jendela ini
ku menyaksikan keruntuhan bangsa
menangisi hilangnya peribadi ummat
Dan luntur luluhnya IMAN
Di ulit kemewahan, diragut kepapaan

Di jendela ini
Kuratapi kematian jiwa
Hancur runtuh rumahtangga
Terbiar terkapar anak-anak bangsa
mengais secebis identiti
menyudu kehormatan dan harga diri
Dicelah runtuhan sebuah kehidupan.

Tiada lagi kebahagiaan
pudar sudah lirikan senyuman
Bila diri lupa jalan pulang
pada Pemilik jiwa dan kehidupan

Tiada lagi kelapangan hati
pada mahligai tersergam berdiri
Apabila insan lupa diri
Hidup sekadar nafsu nafsi

Tiada lagi kelazatan jiwa
pada sajian hebat di meja kehidupan
bila hati tak mengenal Pencipta
Pemilik diri dan semesta alam

Maafkan guru mu
anak-anak tercinta
Lama ku berdiri di jendela
lupa dirimu semakin dewasa
nasihatku melimpah dalam bicara
tapi tiada hikmah dalam kata-kata

Maafkan guru mu
anak-anak tercinta
terleka jiwa ku dijendela
terlupa dirimu manusia biasa
tidak suka dikongkong jasad dan jiwa

Hanya satu harapan dicita
Dirimu terpelihara diluar sana
Indah pekertimu menyeri dunia
Membimbing manusia pada Pencipta



Cikgu Azmi Bahari
Bumi Wakafan, MATRI
11.45 PM, 21 Mei 2012

22 September 2011

Antara Tazkirah : Apa Yang Anda Akan Lakukan Bila Dipuji?

 

Jika seseorang memujimu sedangkan hatimu tidak menyukai pujian dan pujian itu memang ada pada dirimu, maka bacalah doa berikut:

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَظْهَرَ الجَمِيْلَ وَسَتَرَ القَبِيْحَ

Ertinya: Segala puji bagi Allah yang menampakkan yang baik dan menutupi yang buruk

Dan jika dia memujimu dengan sesuatu yang tidak kau miliki, maka bacalah [1]:


أَللهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِيْ بِمَا يَقُوْلُوْنَ، وَاغْفِرْلِيْ مَالاَ يَعْلَمُوْنَ، وَاجْعَلْنِيْ خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ

Ertinya: Ya Allah, jangan Engkau tuntut aku dengan apa yang mereka katakan (ucapkan), dan ampunilah aku atas apa-apa yang mereka tidak ketahui dan jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan.

*P/S :
[1] Sayyiduna Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه , tatkala dipuji, beliau berdoa:


اللهم أنت أعلم بي من نفسي وأنا أعلم بنفسي منهم. اللهم اجعلني خيرا مما يظنون واغفرلي مالا يعلمون ولا تؤاخذني بما يقولون

Ertinya: Ya Allah, Engkau lebih mengetahui hal keadaanku daripada diriku, dan aku lebih mengetahui hal keadaan diriku daripada mereka. Ya Allah, jadikanlah aku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan, dan ampunilah aku apa-apa yang mereka tidak ketahui, dan jangan dituntut dengan apa yang mereka katakan.

*Ini adalah copy paste dari perkongsian sahabat saya di Facebook.( Klik Sini )
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...